KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam Kepimpinan sempena majlis Konvokesyen ke-12 Asia e University (AeU) hari ini.

Beliau menerima Ijazah Doktor Kehormat itu daripada Canselor AeU Tan Sri Dr Syed Hamid Albar sebagai pengiktirafan atas perkhidmatan cemerlangnya kepada negara dan universiti.

Naib Canselor AeU Prof Tan Sri Dr Nik Mustapha Raja Abdullah berkata Mustapa telah berkhidmat sebagai Menteri Pengajian Tinggi dari 2006 hingga 2008 dan memainkan peranan penting dalam memperjuangkan penubuhan AeU pada 2007 di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996.

"Tandatangan beliau dicetak pada dokumen penubuhan AeU, menandakan peranan penting beliau dalam penubuhan institusi kami," katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat itu membuktikan bukan sahaja kepada usaha peribadi beliau tetapi juga kepada potensi transformatif pendidikan dalam landskap negara yang dinamik dan tidak menentu.

"Saya terlibat dengan AeU sejak Julai 2006 ketika memegang jawatan Menteri Pengajian Tinggi. Pada tahun itu Prof Datuk Dr Ansary Ahmed (pengasas Presiden AeU) memberi taklimat kepada saya mengenai cadangan penubuhan universiti ini.

"Kertas cadangan (universiti) sebelum itu telah diterima dalam mesyuarat Menteri-Menteri Dialog Kerjasama Asia (ACD) ke-5 di Doha, Qatar, pada Mei dan dibentangkan oleh Menteri Luar Tan Sri Dr Syed Hamid Albar, yang kini merupakan Canselor AeU dan surat jemputan rasmi penubuhan universiti telah ditandatangani oleh saya, diserahkan kepada Prof Datuk Dr Ansary pada Januari 2007," katanya mengingati kembali peristiwa itu.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Ansary dan pasukannya atas pandangan jauh dan visi mereka untuk menubuhkan universiti digital pada 2006 dan kini selepas 16 tahun penubuhannya, lebih 15,000 pelajar dari lebih 35 negara telah lulus dengan pencapaian yang luar biasa.

Pada konvokesyen itu, 1,919 pelajar lulusan akademik menerima skrol masing-masing, terdiri daripada 30 ijazah kedoktoran, 18 ijazah doktor pentadbiran perniagaan, 922 ijazah sarjana, tiga sarjana eksekutif, 507 ijazah sarjana muda, 56 diploma dan lima program asasi antarabangsa.

-- BERNAMA